Sunday 11 December 2011

:: pimpinlah aku ke jalan cintaNya ::

Bismillahirrahmanirrahim~ In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.



Deruan angin menampar halus ke pipinya. Tudung yang dipakainya sedikit senget. Pantas dia membetulkan kembali tudungnya. Pandangannya dilempar ke lautan lepas. Kata-kata akaknya, Aishah sebentar tadi seolah-olah bermain-main di kepalanya. "Adawiah, bukan akak mahu memaksa kamu untuk menerima pinangan ini. Tetapi berapa banyak lagi pinangan yang datang, kamu ingin tolak? Akak risau kamu tidak dapat mendirikan rumahtangga pada usia kamu ini. Akak harap kamu dapat terima pinangan kali ini. Dia seorang lelaki yang baik Adawiah. Fikirlah sebaik-baiknya." Adawiah menutupkan matanya, berharap agar kata-kata akaknya itu hilang dari pendengarannya.  Bukan dia tidak mahu, cuma baginya biarlah jodoh itu datang sendiri. Dia tidak mahu akaknya mencarikan jodoh untuknya. Dia bukannya barang dagangan yang perlu dicanang-canang. Dia sedar, ramai wanita yang umur sepertinya kebanyakannya sudah berumahtangga. Malah, ada segelintir teman-teman sekolahnya dulu telah mempunyai dua cahaya mata. Sedangkan dirinya, masih keseorangan. Adawiah teringat akan kata-kata teman sekuliahnya sewaktu dia menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dulu, Zainab mengatakan bahawa dia tidak mempunyai hati dan perasaan. Sebab itulah dia tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki pun. Dan Adawiah yakin, ramai lelaki tidak berani untuk masuk meminangnya kerana dia bertudung labuh. Bagi Adawiah, dia tidak kisah sekiranya dia di'label' sebegitu. Kerana dia yakin, Allah SWT itu Maha Mengetahui akan tiap sesuatu. Dia pasrah.

Sebulan berlalu. Untuk kesekian kali, dia menolak pinangan yang datang dari teman akaknya yang datang sebulan lalu. Akaknya, Aishah sudah tidak tahu bagaimana caranya untuk memujuk dirinya agar membuka pintu hatinya untuk seseorang yang bergelar Adam. Bagi Adawiah, hanya seorang Adam yang layak dihatinya. Sehingga waktu itu tiba, dia akan terus bersabar menanti kedatangan Adam yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Suatu hari, dia mendapat surat dari teman akaknya yang ditolak pinangannya. Melalui isi surat tersebut, lelaki berkenaan ingin bertemu dengannya untuk meminta penjelasan dari tindakan Adawiah. Tarikh dan tempat perjumpaan dibaca sepintas lalu. Seketika kemudian, dia meletakkan surat tersebut di meja kerjanya. Keluhan dilepaskan. Tidak selesa. Ya! Itulah yang dirasakan oleh Adawiah ketika ini. Dia tidak selesa apabila diminta berjumpa dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya. Sedangkan berbalas mesej dengan lelaki pun dia tidak berkenan, apatah lagi mahu berjumpa. Adawiah termenung. Berfikir bagaimana caranya untuk dia menerangkan perkara yang sebenar kepada lelaki tersebut. Buntu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk bertanyakan pada akak sepejabatnya, Kak Fatimah. Adawiah telah menganggap Kak Fatimah seperti akaknya sendiri. Setiap kali ada perkara yang mengganggu fikirannya, pada Kak Fatimahlah dia mengadu. Kak Fatimah pula akan menenangkan dirinya dengan memberi nasihat dan bercerita tentang kisah-kisah  puteri Rasulullah SAW yang tetap sabar walaupun diuji oleh Allah SWT. 

Langkah dihala ke arah meja Kak Fatimah. "Assalamualaikum akak" sapa Adawiah apabila dia sampai di meja Kak Fatimah. "Waalaikumsalam. Oh, Adawiah. Adawiah cari akak ni ada apa-apa ke?" tanya Kak Fatimah lembut. Adawiah yang mendengar tersenyum manis. Dia duduk berhadapan dengan Kak Fatimah. Wajah tenang Kak Fatimah dipandang. "Adawiah nak minta pendapat akak sikit. Akak tahukan yang sebulan lepas Adawiah ada menolak pinangan yang datangnya dari teman Kak Aishah?" soalnya perlahan-lahan. Kak Fatimah memandang sejenak kearahnya sebelum mengangguk. "Kenapa Adawiah tanya? Lelaki tu nak jumpa Adawiah ke?" serkap Kak Fatimah sambil tersenyum. Adawiah mengangguk perlahan sebelum dia menundukkan pandangannya. Dia tidak tahu bagaimana Kak Fatimah boleh meneka dengan begitu tepat sekali. Sedar akan ketidakselesaan Adawiah, Kak Fatimah lantas memegang lembut tangan Adawiah. Diusapnya perlahan bagi menenangkan gelora hati Adawiah yang tidak keruan itu. "Bila dia nak jumpa dan dekat mana? Biar akak temankan Adawiah. Tak manis kalau Adawiah berdua sahaja berjumpa dengan lelaki tu. Takut menimbulkan fitnah." ujar Kak Fatimah lembut. Adawiah mengangkat wajahnya. Dia memandang wajah Kak Fatimah dengan rasa tidak percaya. Ya Allah, sungguh baik hati wanita dihadapannya ini. Terharu dengan kebaikan yang dihulurkan, Adawiah pantas memeluk tubuh Kak Fatimah. Sesungguhnya dia bersyukur kerana diperkenalkan dengan Kak Fatimah. Terima kasih Ya Allah.

Adawiah perlahan-lahan menuju ke sebuah restoran yang dijanjikan. Seorang pelayan membawanya ke suatu sudut yang agak agak jauh dari pandangan pelanggan lain. Adawiah tidak selesa. Dipandang wajah Kak Fatimah yang sedari tadi menemaninya. Terpancar kerisauan diwajah Adawiah. Kak Fatimah menyuruhnya agar bertenang. Adawiah cuba melangkah dengan tenang. Seketika kemudian dia terlihat seorang lelaki yang dia tidak berapa kenal menunggu di meja yang ditunjukkan oleh pelayan tersebut. Lelaki itu menoleh. Dia menyambut kedatangan Adawiah dengan sebuah senyuman. Dia mempersilakan Adawiah duduk. "Nampaknya awak datang berteman" tanya lelaki tersebut. Adawiah diam. "Awak dengan teman awak nak order apa-apa? Orderlah, saya bayar" ujar lelaki itu lagi. "Tidak mengapa. Terima kasih atas pelawaan saudara. Saya datang sini agar saya dapat selesaikan persoalan saudara. Itu sahaja." jawab Adawiah lembut. Keluhan terdengar dari mulut lelaki tersebut. Sesaat. Dua saat. Suasana sunyi menyelubungi kami. "Saya yakin, nama saya pun tentu awak tak tahu bukan? Nama saya Azhar. Nama awak Nur Rabiatul Adawiah binti Muhammad bukan? Saya kawan sepejabat akak awak." tutur lelaki yang bernama Azhar itu. Adawiah mengangguk. Dia tahu yang lelaki dihadapannya ini teman sepejabat akaknya. Tetapi, dia tidak pernah ambil tahu akan nama lelaki tersebut. Sedar akan kesalahannya kerana tidak tahu akan nama lelaki tersebut membuatkan dia rasa bersalah. Dia khuatir lelaki tersebut akan menganggap yang dia tidak menghormati lelaki itu. "Saya minta maaf sebab tidak pernah tahu akan nama saudara." tutur Adawiah perlahan. Lelaki tersebut tersenyum. "Tak mengapa. Saya memang dah dapat duga yang awak tak tahu nama saya. Jangan Adawiah rasa bersalah pula. Kalau macam tu, boleh saya dengar sendiri penjelasan dari mulut Adawiah sendiri kenapa awak menolak pinangan saya? Bukan saya nak marah awak atau menyalahkan awak. Cuma, saya nak tahu apa kekurangan saya dimata awak." soal Azhar tenang. Adawiah memandang seketika Kak Fatimah. Kak Fatimah memegang tangan Adawiah. Adawiah memegang erat tangan Kak Fatimah. Dia ingin meminjam kekuatan Kak Fatimah. Ya! Ketika ini dia lemah. Nafas ditarik perlahan. "Saya mencari seseorang yang mampu membimbing saya menjadi isteri yang solehah. Yang mampu mendidik saya agar saya dapat terus mencintai Ya Rabb. Bukan saya maksudkan yang awak ini tidak baik. Tidak! Cuma, hasil Istikharah saya, bukan awak orangnya. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Lagi satu, saya nak awak tahu yang saya tak berkenan apabila awak meminta saya berjumpa awak disini. Kalau awak nak berbicara, datanglah berjumpa keluarga saya. Disitu silap awak yang saya tidak berapa suka. Maaf kalau awak terasa dengan kata-kata saya. Saya cuma cakap apa yang saya rasa. Sebab itu saya membawa teman bersama saya, kerana berjumpa secara berdua-duaan tidak manis kalau dipandang orang. Saya takut akan berlakunya fitnah." tutur Adawiah perlahan. Berharap lelaki tersebut dapat memahami.

Terdengar ketawa kecil dari lelaki tersebut. Kemudian lelaki tersebut mengangguk perlahan. "Maaflah kalau saya buat awak tak selesa. Silap saya." keluhan dilepaskan. "Terima kasih sebab sudi berjumpa dengan saya dan memberitahu sebab sebenar kenapa awak tolak pinangan saya." ujar Azhar perlahan. "Saya harap awak akan dapat bertemu dengan Adam awak. Dan doakan saya agar saya dapat Hawa yang sebaik awak." pinta Azhar. Adawiah menggeleng perlahan. "Saya bukan seorang wanita yang baik. Saya masih banyak lagi kekurangan. InshaAllah, saudara akan dapat berjumpa dengan Hawa saudara. Bukankah setiap kejadian itu dijadikan berpasang-pasangan. Yakin dan percayalah pada setiap ketentuan Allah SWT itu. Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Assalamualaikum." tutur Adawiah senang sambil berlalu meninggalkan Azhar. "Waalaikumsalam." jawab Azhar sambil tersenyum. Azhar menghantar Adawiah dengan pandangan matanya. 'Alangkah indahnya kalau kau sudi jadi suri hatiku, Nur Rabiatul Adawiah binti Muhammad. Namun, kita hanya mampu merancang dan Allah SWT yang memberi natijahnya. Mungkin bukan kau yang ditakdirkan dalam hidupku. Walaupun bagiku ia satu kerugian kerana tidak dapat memperisterikan wanita sebaik kau, namun aku harap kau akan dapat berjumpa dengan orang yang kau kasihi' desis hati Azhar sayu.

"Alhamdulillah. Allah SWT mempermudahkan urusan kita." ujar Adawiah senang. Mulutnya tidak berhenti-henti memuji Allah SWT. Kak Fatimah hanya mampu tersenyum. "Alhamdulillah. Akak tengok, saudara Azhar itu pun baik orangnya. Memahami. Namun, dah takde jodoh kata orang. Nak buat macam mana." balas Kak Fatimah. Adawiah mengerling kearah Kak Fatimah yang duduk di bahagian penumpang. Dia paham apa yang Kak Fatimah cuba sampaikan, tetapi Adawiah hanya berdiam diri. Dia tidak mahu memanjangkan cerita lagi. Baginya, cerita pasal saudara Azhar itu sudah tamat. Dia tidak mahu mengingati kisah itu lagi. "Akak nak Adawiah hantar akak terus balik rumah ke atau Kak Fatimah ada nak singgah mana-mana dulu?" tanya Adawiah sopan. "Hmm.. Adawiah ada apa-apa perkara penting nak buat ke lepas ni?" soal Kak Fatimah pula. Adawiah tersengih. Soalan dijawab dengan soalan. "Adawiah dah takde apa-apa nak dibuat dah lepas ni, Kenapa Kak Fatimah tanya?" "Kalau seharian ni Adawiah teman akak pulak boleh?" "InshaAllah boleh kak. Akak nak Adawiah temankan akak ke mana?" "Hmm... mula-mula kita pergi pasar dulu, Kak Fatimah lupa yang malam nanti keluarga akak nak datang. Jadi, akak nak belilah barang basah untuk dimasak malam nanti." "Keluarga akak yang dari Selangor tu ke? Boleh, kalau macam tu biar Adawiah bawak akak singgah pasar dulu." ujar Adawiah tenang. Kereta yang dipandu segera dihala ke pasar yang berdekatan.

Barang yang dibeli sebentar tadi segera Adawiah letak diatas meja. "Kak Fatimah nak masak apa untuk malam ni?" tanya Adawiah pantas, pandangannya ditala kearah Kak Fatimah yang berada di muka pintu dapur. Dilihatnya Kak Fatimah memegang  perutnya. "Kak Fatimah okey tak ni?" tanya Adawiah cemas. "Kak Fatimah okey je Adawiah. Akak sakit perut sebab tak makan apa-apa lagi hari ni kot. Adawiah masak boleh?" pinta Kak Fatimah sambil tangannya terus mengusap perutnya. Adawiah mengangguk. "Akak nak masak apa? Biar Adawiah masakkan." "Adawiah masak sahaja apa yang Adawiah rasa nak masak. Terpulang pada Adawiah." "Eh, Kak Fatimah cakap betul-betul ni. Akak tak kisah ke kalau Adawiah masak apa sahaja yang Adawiah nak masak?" "AKak cakap betullah ni Adawiah. Ikut Adawiahlah nak masak apa." kata Kak Fatimah segera berlalu ke tingkat atas. Adawiah menggaru kepalanya yang tidak gatal. 'Nak masak apa?' desis hatinya perlahan. Dia melangkah perlahan ke arah singki. Segala bahan yang dibeli sebentar tadi segera dipotong. Kuali ditenggek diatas tungku dapur. Seketika kemudian, bunyi orang memasak dan menggoreng mula kedengaran. Kak Fatimah yang berada di bilik tersenyum penuh makna.

Pintu bilik Kak Fatimah segera diketuk. "Akak, Adawiah dah siap masak dah ni. Kalau takde apa-apa lagi, Adawiah minta diri dulu. Dah nak masuk Maghrib dah ni" ujar Adawiah perlahan. Takut Kak Fatimah rasa terganggu dengan ucapannya. Seketika kemudian, pintu bilik terbuka. Muka Kak Fatimah terjengul dari dalam. "Adawiah makan dekat rumah akak malam ni tak boleh ke? Lepas solat Isya' baru Adawiah balik. Boleh?" soal Kak Fatimah mengharap. "Tapi..." Adawiah ragu-ragu untuk menjawab. "Bolehlah ye Adawiah. Lagipun, Kak Fatimah nak kenalkan Adawiah dengan  Umi dan Abi akak." pinta Kak Fatimah lagi. Adawiah menjadi serba-salah untuk menolak apabila melihat kesungguhan Kak Fatimah. "Hmm... kalau macam tu, biar Adawiah telefon rumah dulu. Nak beritahu Umi Adawiah yang Adawiah tak balik makan malam." jawab Adawiah segera meminta diri untuk menelefon Uminya.

"Assalamualaikum." salam kedengaran dari luar. Adawiah dan Kak Fatimah saling berpandangan. "Waalaikumsalam. Mereka dah sampai." ujar Kak Fatimah teruja. Adawiah mengangguk. Lantas, Kak Fatimah segera menyambut kedatangan keluarganya dengan mesra. Adawiah segera mengikut. "Apa khabar anak umi yang satu ni? Sihat?" soal umi Kak Fatimah setelah berbalas pelukan. Terpancar kegembiraan dimukanya. "Alhamdulillah Fatimah sihat umi. Umi, kenalkan, ini kawan sepejabat Fatimah. Nur Rabiatul Adawiah binti Muhammad." tutur Kak Fatimah sambil memperkenalkan dirinya. Adawiah lantas bersalaman dengan umi Kak Fatimah. Adawiah merasa sedikit terkejut apabila umi Kak Fatimah menarik dirinya kedalam pelukan. Dia terharu. Begitu sekali umi Kak Fatimah menyambut dirinya. Dia lantas membalas pelukan umi Kak Fatimah. Dia merasa satu kebahagian. Seolah-olah mereka  sudah lama kenal. "Rabiatul ye?" tanya umi Kak Fatimah. "Ya Umi." jawab Adawiah sopan. Dia segera menggelarkan umi Kak Fatimah dengan panggilan 'umi' kerana dia merasakan bahawa dengan cara itu, mereka tidak akan berasa kekok. Umi Kak Fatimah tersenyum. Senang dengan panggilan yang digunakan oleh Adawiah. "Umi, Abi, masuklah dulu. Rehat-rehatlah dulu. Nanti Fatimah siapkan makan malam." "Hah, yelah. Abi pun nak mandi dulu ni. Melekit-lekit dibuatnya." jawab Abi Kak Fatimah lalu berlalu ke tingkat atas. Menuju ke bilik tetamu untuk mandi. Adawiah segera melangkah ke dapur untuk menyiapkan minuman untuk Umi dan Abi Kak Fatimah. Sementara Adawiah di dapur, Fatimah bertanyakan kepada uminya. "Umi, Fatimah tak nampak pun Fi?" tanya Fatimah dengan suara yang perlahan. Takut didengari oleh Adawiah yang berada di dapur. "Ada dekat luar tu. Dia pergi ambil beg." jawab umi Kak Fatimah. Seketika kemudian, muncul adiknya di muka pintu. "Assalamualaikum kak." sapanya sambil menyalami tangan akaknya. "Waalaikumsalam. Hah, pergi naik atas dulu. Mandi. Nanti dah siap, turun bawah untuk makan." tegur Kak Fatimah lembut kepada satu-satunya adik kesayangannya. Adiknya segera berlalu ke tingkat atas. Setelah kelibat adiknya hilang dari pandangan, Fatimah memandang uminya pula. Uminya tersenyum kearahnya. Beberapa minit selepas itu, Adawiah datang sambil menatang beberapa gelas minuman ke ruang tamu.

"Susah-susah pulak Rabiatul ni. Maaflah kalau umi menyusahkan Rabiatul." tutur umi Kak Fatimah. "Apa umi cakap macam tu? Rabiatul tak rasa susah pun." balas Adawiah senang sambil tersenyum. "Untung siapa yang memperisterikan Rabiatul ni. Baik orangnya." ujar umi Kak Fatimah lagi sambil mengelus lembut tangan Adawiah. Adawiah menggelengkan kepalanya. "Rabiatul tak sebaik yang umi cakap. Rabiatul ada banyak lagi kekurangan." jawab Adawiah lemah. Umi Kak Fatimah tersenyum. "Kalau umi nak tanya sesuatu dekat Rabiatul boleh?" tanya umi perlahan. Mata Adawiah segera direnung. Adawiah mengangguk. "InshaAllah, kalau Rabiatul boleh menjawabnya, Rabiatul akan jawab. Umi nak tanya apa?" soal Adawiah lembut. "Umi ada dengar dari anak umi, Fatimah yang Rabiatul belum berpunya lagi. Kalau boleh, umi nak tahu. Ciri yang macam mana Rabiatul nak pada suami Rabiatul tu?" tanya umi Kak Fatimah tenang. Adawiah yang mendengar terkesima. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan umi Kak Fatimah. Dia memandang Kak Fatimah dan uminya bersilih-ganti. Nafas ditarik perlahan sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Dengan tenang, Adawiah memandang wajah umi Kak Fatimah. Dia tidak tahu kenapa, tetapi dia sudah jatuh sayang pada umi Kak Fatimah. "Rabiatul nak, sekiranya Rabiatul jatuh cinta, Rabiatul nak rindu pada seseorang yang merindui syahid di jalan Allah SWT. Rabiatul nak menyentuh hati orang yang hatinya telah terpaut pada Allah SWT. Rabiatul nak, orang yang Rabiatul cintai itu dapat membimbing Rabiatul agar tidak lalai dari merindui syurga Allah SWT. Rabiatul nak, dia seorang yang boleh menjadi imam kepada Rabiatul dan anak-anak kami pada masa akan datang." ujar Adawiah perlahan. Dia menundukkan wajahnya. "Alhamdulillah. Sejuk hati  umi dengar Rabiatul jawab macam tu." jawab umi Kak Fatimah gembira. Dia segera memeluk Adawiah. Adawiah yang pada mulanya terpinga-pinga, membalas juga pelukan itu. 'Ya Allah, Kau dekatkanlah hati-hati ini Ya Allah.' doa Adawiah di dalam hati.

"Ni kenapa ada drama bagai ni?" sergah Abi Kak Fatimah membuatkan pelukan Adawiah terlerai. Adawiah tersenyum malu. Segan ditangkap oleh Abi Kak Fatimah. "Awak ni, buat saya terkejut saja." marah umi Kak Fatimah, manja. Abi hanya ketawa melihat tingkah Adawiah yang seolah-olah malu itu. "Fatimah, dah siap makanannya? Abi dah lapar sangat ni." ujar Abi Kak Fatimah lagi. Kak Fatimah mengangguk. "Mari semua kita makan dulu." Adawiah segera berlalu ke dapur. "Itu ke budaknya Fatimah?" tanya Abi perlahan. FAtimah segera mengangguk. Mengiakan kata-kata abinya itu. "Kalau itu budaknya, Abi pun setuju." balas Abi sambil memandang kearah anaknya yang bongsu itu. Anaknya itu membalas pandangannya dengan tenang. 

"Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan minum kepada kami serta menjadikan kami orang Islam. Amin. Abi gembira sungguh sebab anak dara abi ni makin lama makin mahir memasak. Alhamdulillah. Sedap Fatimah masak." ujar abi sambil memandang kearah anak daranya, Fatimah dengan muka berseri-seri. "Abi ni, bukan Fatimah yang masak semua lauk ni. Adawiah yang masak. Fatimah mana reti masak lauk sesedap ni." ujar Kak Fatimah merendah diri. "Ya Allah, betul ke Fatimah? Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyaklah Rabiatul sebab masak yang sedap-sedap untuk kami sekeluarga." tutur abi Kak Fatimah bersungguh-sungguh. Adawiah hanya mengangguk. "Segala pujian abi tadi semuanya milik Allah SWT." Adawiah menyambung. Dia tidak berani mengangkat mukanya. Seingatnya, hanya Umi dan Abi Kak Fatimah sahaja yang datang, rupa-rupanya adik lelaki Kak Fatimah juga hadir. Dia hanya menyedari kehadiran adik Kak Fatimah itu sewaktu berkumpul hendak makan. Ketika itulah dia baru menyedari akan kewujudan adik Kak Fatimah itu. Sebenarnya dia betul-betul tidak selesa ketika itu. Adawiah segera mengangkat pinggan-pinggan kotor ke dalam singki untuk dibasuh. Dia cuba keluar dari meja makan itu. Nafas yang berat dilepaskan apabila dia berada di hadapan singki. Barulah dia boleh bergerak bebas kini. Segala pinggan yang digunakan sebentar tadi dibasuh. Jam dinding dikerling. '8.45 malam. Dah nak masuk waktu Isya'. ' desis hatinya perlahan. "Adawiah lekas. Kita berjemaah sama-sama" ujar Kak Fatimah secara tiba-tiba, mengejutkan dirinya. Dia pantas mengangguk. Basuhannya dicepatkan. Setelah siap, dia bergegas ke bilik air untuk mengangkat wudhu'. Telekung dipakai dan dia segera memenuhkan saf wanita. Imamnya ialah abi Kak Fatimah. "Hanafi, kamu iqamat" suruh abi Kak Fatimah. Tanpa membuang masa, Hanafi, adik lelaki Kak Fatimah pun segera iqamat. 'SubhanaAllah. Syahdu sungguh.' detik hatinya. Selepas habis, abi Kak Fatimah pun mula mengimamkan solat Isya'. Usai solat, doa abi Kak Fatimah benar-benar menyentuh hati wanitanya. Hatinya menangis. Hatinya benar-benar tersentuh. Dia menangis dalam diam. Selepas mengaminkan doa, Adawiah segera bersalam-salaman dengan Kak Fatinah dan umi Kak Fatimah. Sesungguhnya dia berasa sangat gembira kerana diberi kesempatan untuk berkenalan dengan keluarga Kak Fatimah. 'Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan mereka kepada hambamu ini.' doanya perlahan.

"Umi, Kak Fatimah, saya balik dulu. Dah malam ni. Takut Umi risau pulak nanti. Kak Fatimah terima kasih atas segalanya. Umi, maafkan Rabiatul kalau selama bersama dengan umi, umi terasa dengan tingkah Rabiatul." ujar Adawiah perlahan sambil mencium tangan umi Kak Fatimah. "Rabiatul takde buat apa-apa salah dekat umi pun sayang." jawab umi Kak Fatimah sambil mencium kedua-dua belah pipi Adawiah. Adawiah terasa bahagia kerana umi Kak Fatimah melayannya seperti anaknya sendiri. "Saya pulang dulu. Assalamualaikum." tutur Adawiah sambil melangkah kearah keretanya. Umi Kak Fatimah hanya mengangguk. "Pandu hati-hati ya nak" pesan umi Kak Fatimah. Adawiah mengangguk. Dia meninggalkan perkarangan rumah Kak Fatimah dengan sebuah hati yang dia sendiri tidak mampu mengerti. Sesungguhya dia amat berharap dapat bertemu dengan Umi Kak Fatimah sekali lagi. Dia memandu pulang ke rumahnya dengan tenang.

Seminggu kemudian, dia diberitahu kakaknya, Aishah bahawa ada orang yang masuk meminang dirinya. Adawiah buntu. Sebelum dia berangkat pergi kerja pada hari itu, akaknya sempat berpesan kepadanya. "Adawiah, pinangan kali ini, akak harap sangat kamu tak tolak. Kamu buatlah keputusan yang terbaik. Akak rasa dia adalah calon yang benar-benar terbaik buat kamu. Mintalah petunjuk dari Allah SWT. Akak harap, akak akan dapat jawapan yang positif dari kamu. Fikir-fikirkanlah kata-kata akak ni." ujar Kak Aishah sebelum berlalu ke dapur. Adawiah termenung. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meminta pertolongan dariNya. Sesungguhnya Allah SWT itu lebih Maha Mengetahui. Malam itu, dia bangun dari tidur seperti biasa. Dia melakukan qiamullail. Seusai qiamullail, dia segera membuat solat sunat Istikharah. Dia benar-benar menyerahkan dirinya. Dia bersungguh-sungguh memohon petunjuk dari Allah. Pintanya, andai pinangan yang datang ini adalah jodohnya, maka tunjukkanlah petandanya. Andai bukan, dia pasrah. Adawiah melakukan solat sunat Istikharah selama tiga hari berturut-turut. Hari yang keempat, dia sudah membuat keputusannya. Dia yakin, Allah SWT itu Maha Mengetahui akan tiap sesuatu yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Pintu bilik akaknya diketuk perlahan. Tombol pintu dipulas. "Kak Aishah, boleh adik masuk?" ujarnya penuh hormat. "Masuklah Adawiah." balas akaknya memberi izin. Pantas kaki Adawiah mengatur laju kearah akaknya. Punggungnya dilabuhkan disisi kakaknya. "Akak, Adawiah dah ada jawapannya. Kalau akak rasa pinangan kali ini benar-benar yang terbaik buat adik, adik terima kerana Allah SWT." tuturnya tenang. Aishah terkedu. "Betul ke apa yang adik cakap ni? Adik tak main-main?" soal akaknya bertalu-talu. "InshaAllah. Adik terima pinangan kali ini." jawabnya lagi tenang. "Alhamdulillah. Adik nak kenal dulu ke dengan tuan empunya?" soal akaknya gembira. Adawiah faham akan perasaan akaknya yang risau dia tidak akan dapat mendirikan rumahtangga pada usianya yang sudah menginjak ke-25 tahun. Adawiah pantas menggeleng. "Biarlah. Buat masa ini, adik tak nak tahu siapa yang masuk meminang tu. Nanti bila dah sampai masanya, adik akan tahu juga. Akak buatlah apa yang patut. Adik terima sahaja keputusan akak." jawabnya memberi kata putus. Akaknya lantas memeluk dirinya erat sambil memanjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Sudah empat bulan berlalu. Selepas dia memberi kata putus kepada akaknya, dua minggu selepas itu dia bertunang. Dia masih tidak tahu, siapakah tunangnya. Kerana pada hari pertunangan itu, keluarga pihak lelaki tidak dapat datang kerana mereka terpaksa ke luar negara atas urusan tertentu. Yang menyarungkan cincin pertunangan itu adalah ibu saudara kepada tunangnya. Pada hari ini, dia akan diijabkabulkan. Hatinya berdebar. Dia agak sedih kerana Kak Fatimah tidak dapat hadir ke majlis perkahwinannya. Menurut Kak Fatimah, adiknya yang bongsu itu turut kahwin pada hari ini. Adawiah pasrah. Akhirnya, waktu yang dinanti-nantikan tiba. Hatinya tidak semena-mena berdebar-debar. "Aku terima nikahnya, Nur Rabiatul Adawiah binti Muhammad dengan mas kahwinnya sebanyak RM 20.50 tunai." "Sah." "Sah." Maka, dengan ini sahlah Adawiah sebagai  isteri. "Alhamdulillah." ucap satu suara yang tidak asing lagi di pendengaran Adawiah. Adawiah segera menoleh kearah tersebut. Dia terkejut. Kak Fatimah! Kak Fatimah hanya tersenyum kearahnya. Adawiah terpinga-pinga. Apa yang berlaku sebenarnya? Dia tidak mengerti. Seketika kemudian, dia ditegur oleh akaknya. Pengantin lelaki pun datang untuk upacara pembatalan air sembahyang. Tangan yang dihulur, Adawiah sambut dengan penuh sopan. Saat dia mengangkat wajah, dia sekali lagi terkejut. Hanafi! Ya, lelaki dihadapannya ini ialah Hanafi, adik bongsu Kak Fatimah. Adawiah semakin tidak mengerti akan suasana yang sedang berlaku. Dia buntu. "Terima kasih sayang, kerana sudi menerima abang sebagai suamimu" ujar suaminya halus di telinganya. Terkesima. Dia memandang kearah suaminya itu dan Kak Fatimah silih berganti. Memohon penjelasan dari mereka. Namun, mereka hanya tersenyum dengan penuh kesyukuran. 

Selesai mengemas, Adawiah lantas masuk ke dalam bilik. Hajatnya, dia ingin mandi kerana badannya sudah melekit-lekit. Usai dia mandi, dia lantas mengerjakan solat Isya' yang sudah lama masuk. Sejurus itu, dia tertidur dalam kepenatan dengan keadaan dirinya bertelekung. "Sayang, bangun sayang." ujar satu suara yang sayup-sayup di pendengarannya. Badannya digoncang lembut beberapa kali. "Sayang, bangun. Kita solat subuh berjemaah." ujar suara itu lagi. Adawiah bangun terpisat-pisat. Sekitar biliknya dipandang penuh hairan. 'Eh, ini bilik aku ke?' desis hatinya pelik. Dia tidak ingat pulak yang biliknya berhias secantik ini. Bertambah pelik apabila dia dapati yang dia berada diatas katil. Seingatnya, dia tertidur seusai dia menunaikan solat Isya'. Macam mana dia boleh berada di atas katil? "Sayang, bangun cepat ni. Kita solat jemaah bersama-sama." ujar suara itu lagi. Adawiah pantas menoleh kearah pemilik suara itu. Dia terkejut. Sedikit demi sedikit, ingatannya kembali. Ya! Dia sudah menjadi isteri orang. Dan suaminya itu adalah adik Kak Fatimah.Maknanya, malam tadi suaminya itulah yang telah mengangkat dia ke atas katil? Ya Allah. Malunya! kemudian, dia teringat akan pesanan abinya yang suruh taat akan kata-kata suami, dia lantas bangkit dari tidurnya dan menuju ke kamar mandi. Beberapa minit kemudian, dia sudah pun berdiri di atas sejadah. Suaminya mengimamkan solat subuh pada hari itu. Adawiah merasakan satu kelainan. Dia merasa begitu tenang sekali. Akhirnya, ada seorang suami yang boleh dia bergantung harap. Dia bersyukur kerana mendapat suami yang baginya begitu baik sekali. Saat suaminya membaca doa, Adawiah menangis. Dia merasa begitu gembira dan terharu. Selepas mengaminkan doa tadi, dia pantas mengucup lembut tangan suaminya yang sah. Seketika kemudian, suaminya mengucup dahinya dengan penuh kasih sayang. "Terima kasih sekali lagi sayang, kerana sudi menerima abang dengan seiklas hati untuk menjadi suami sayang." ujar suaminya lembut. Adawiah menggeleng pantas. Wajah suaminya ditatap. "Bukan abang yang perlu berterima kasih, sebaliknya sayang yang perlu berterima kasih kepada abang kerana sudi mejadikan sayang sebagai suri hidup abang." tutur Adawiah perlahan. Dia sedar, dia punya banyak lagi kekurangan. Disaat itu, dia menanamkan tekad, bahawa dia akan cuba menjadi isteri yang solehah buat suaminya.


Keesokan harinya, Adawiah berkunjung ke rumah mertuanya. Ketika itu, umi tiada di rumah. Kak Fatimah yang menyambut kedatangannya. Kak Fatimah mendakap erat Adawiah, yang kini merupakan adik iparnya. "Adawiah sihat?" tanya Kak Fatimah lembut. "Alhamdulillah kak. Adawiah sihat." balas Adawiah lembut. Kak Fatimah membawanya ke laman rehat. "Akak minta maaf ya Adawiah. Sebab akak tak beritahu kamu hal yang sebenar." ujar Kak Fatimah serba salah. Adawiah hanya menggeleng. Suaminya pun ada meminta maaf kepadanya selepas mereka solat subuh berjemah bersama-sama. Alasannya, sebab berahsia. "Tak mengapalah kak. Lagipun bukan salah akak. Salah Adawiah juga. Siapa suruh Adawiah tak nak ambil tahu siapa nama tunang Adawiah." balas Adawiah senang. Dia tidak kisah akan semua tu. Baginya, dia tidak merasa terluka pun dengan perbuatan mereka. Malah, Adawiah merasa bersyukur atas apa yang berlaku. Menurut suaminya, pada hari mereka datang berkunjung ke rumah Kak Fatimah, memang tujuan mereka adalah untuk melihat dirinya. Kak Fatimah sering bercerita perihal dirinya kepada keluarganya. Umi Kak Fatimah yang kini ibu mertuanya, teringin hendak menjumpai dirinya. Oleh itu, apabila umi bertemu dengannya, umi terus ingin menjadikan dirinya sebagai menantu. Adawiah merasa pelik. Mengapa suaminya itu bersetuju atas permintaan umi dan abi. Bukankah dia mempunyai pilihan untuk tidak bersetuju? Apabila ditanya, suaminya lebih suka tersenyum dan berdiam diri. "Akak, Adawiah nak tanya sesuatu ni." tanya Adawiah berhati-hati. Kak Fatimah mengangkat keningnya sebagai tanda 'apa?'. Adawiah memandang sekelilingnya. Melihat sekiranya suaminya ada di sekitar mereka. Setelah pasti suaminya tiada, Adawiah terus bertanya kepada Kak Fatimah tentang bagaimana suaminya boleh bersetuju untuk menjadikan dia sebagai isteri. Kak Fatimah yang mendengar, tertawa halus. Wajah Adawiah dipandang dengan penuh kasih. "Hanafi tu dah lama berkenan dengan kamu. Masa pertama kali akak bercerita perihal kamu kepada umi, dia turut memasang telinga. Buat-buat tak ambil kisah, kononnya. Dah kalau akak asyik bercerita pasal kamu, dia pun nak tahu jugaklah kamu ni macam mana orangnya? Betul ke apa yang akak cerita selama ini? Walaupun dia tidak beritahu perasaan dia, akak sebagai akaknya dapat membaca setiap gerak geri dia. Pasal tu akak beritahu umi dan abi. Bila akak cerita, itu yang mereka bercadang datang ke rumah akak. Untuk bertemu dengan kamu sendiri. Akak bersyukur sangat sebab dapat Adawiah sebagai adik ipar akak. Lagipun kamu dah berjaya mengikat perut dia. Masakan yang kamu masak malam tu, semuanya makanan kegemaran dia. Itu yang dia makin bertambah sayang tu." jawab Kak Fatimah tenang. Adawiah mendengar kata-kata akak iparnya dengan perasaan tidak percaya. 'Patutlah suami aku tak nak beritahu kenapa dia bersetuju untuk mengambil aku sebagai isterinya. Alahai suamiku.' desis hati Adawiah sambil tersenyum. Seketika kemudian suaminya pun datang menghampiri mereka. Kak Fatimah meminta diri untuk berlalu ke dalam bagi membuat minuman. Kini, tinggal mereka berdua sahaja di laman rehat itu. Adawiah memandang wajah suaminya dengan penuh kasih sayang. Dia perasan yang suaminya mempunyai wajah yang tenang dan kacak berkaca mata. Dia tersenyum. Alhamdulilllah. Seolah sedar dirinya diperhati, suaminya memandang kearahnya. "Terima kasih kerana sudah lama mencintai sayang." tutur Adawiah lembut. Jelas suaminya kelihatan terkejut dengan kata-katanya. Kemudian suaminya mengucup lembut dahinya. "Nampaknya, sayang dah tahu. Tak dapatlah abang nak berahsia dengan sayang. Akhirnya abang dapat bertemu dengan seseorang yang merindui akan syurgaNya. Abang cintakan sayang kerana Allah SWT. Semoga kita melayari bahtera rumahtangga ini dengan sikap-sikap yang Rasulullah SAW semaikan dalam rumahtangga beliau. InshaAllah." jujur suaminya memberitahu. Adawiah pantas menyeka air mata yang baru sahaja gugur. Dia mengangguk laju. Alhamdulillah. Allah SWT telah mempertemukan dia dengan seorang suami yang mampu memimpinnya ke jalan yang diredhai Allah SWT. 'Ya Allah, Kau makmurkanlah rumahtangga kami Ya Allah' pintanya tulus.




-TAMAT-

p/s: saya saja cuba-cuba untuk menulis. cuba nak memperbaiki gaya penulisan. ini cuma nak testing sahaja. ^^

No comments:

Post a Comment