Saturday 14 July 2012

:: Ya Allah, aku punya rasa cinta ::


Bismillahirrahmanirrahim~ In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.




"Assalamualaikum." tegur satu suara dari belakang. 'Aishah yang sedang berjalan, terhenti dan menoleh kearah pemilik suara tersebut. "Waalaikumsalam" "Maaf, saudari terjatuhkan nota saudari" ujar suara itu, penuh sopan sambil menghulurkan nota tersebut. 'Aishah memandang kearah kertas yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut. Dia pantas membelek nota-nota yang berada di tangannya. 'Allah, memang nota-nota aku terjatuh' ujar 'Aishah dalam hati. "Ya Allah. Terima kasih sebab tolong kutipkan nota saya yang tercicir ni. Alhamdulillah." ujar 'Aisyah penuh kesyukuran dan kegembiraan. Nota yang ada, bertukar tangan. 'Aishah sekali lagi mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kepada orang yang baru menolong dia tadi sebelum dia berlalu pergi menuju ke kuliah.

2 minggu berlalu,
"'Aishah, lecturer Asmadi nak jumpa awaklah. Dia suruh awak datang ke bilik dia petang ni, jam 5.00 petang" tutur Mardhiah seusai 'Aishah masuk ke dalam biliknya. Mardhiah merupakan kawan sebiliknya sejak dari hari pertama dia masuk ke universiti ini. Mardhiah jugaklah yang telah banyak membantu dia ketika dia senang dan susah. 'Aishah kehairanan. Dia memandang kearah Mardhiah yang sedang sibuk membuka jilbabnya. Mardhiah memandang sekilas kearah temannya itu. Dia tersenyum. "Awak hairan ke?" tanya Mardhiah lembut kepada 'Aishah sambil melabuhkan punggungnya di sisi 'Aishah. 'Aishah pantas mengangguk, "bukan apa Mar, tapi, siapa lecturer Asmadi tu? Saya tak kenallah. Lagi satu, apa urusan dia nak jumpa dengan saya?" ujar 'Aishah perlahan. "Macam ni, Madam Atyrah ada bagi nama awak untuk jadi assistant untuk lecturer Asmadi tu. Dia kata, awaklah yang palik layak. Sebab, pointer awak, akhlak, dan sahsiah awak mumtaz. Jadi, dia minta awak agar dapat menghulurkan bantuan dan tenaga kerja awak untuk tolong lecturer Asmadi tu." terang Mardhiah panjang lebar. 'Aishah semakin pelik, 'dalam banyak-banyak kawan-kawan aku, kenapa mak cik aku minta aku yang jadi assistant? hmmm.. mungkin ada sebabnya tak kenapa mak cik aku minta pertolongan dari aku. Inshaallah, semuanya akan baik-baik sahaja.' detiknya. menyedapkan hati sendiri. "Inshaallah Mar, saya akan cuba bantu apa-apa yang saya boleh bantu. Terima kasih sebab beritahu saya." "Alhamdulillah. Tak usahlah awak nak berterima kasih sangat. Bukan ada apa-apa pun. 'Aishah, saya nak pergi mandi dulu, rimas dah ni." tutur Mardhiah sambil berlalu ke bilik air selepas tangannya laju mencapai tuala yang elok tersangkut di penyangkutnya. 'Ya Allah, semoga dipermudahkan segalanya. amin' doa 'Aishah dalam hati.

'Aishah berhenti dihadapan pintu bilik. Di situ, jelas tertera nama Dr. Muhammad Asmadi Hakimi bin Muhammad Ali Hanafi-pensyarah sains forensik. 'Aishah terkedu. Sa... sa... sains forensik? Subhanallah. 'Aishah meraup muka dengan kedua tapak tangan. Bersyukur kerana dia dapat menolong Dr. Asmadi ini, kerana bidang sains forensik adalah bidang kesukaannya. 'Alhamdulillah. Allah swt itu Maha Mengetahui akan sesuatu yang baik buat hamba-hambanya' kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan setingi-tingginya buat yang berhak, iaitu Allah swt. Nafas ditarik perlahan. Jam tangan di telek. Tepat jam 5 petang. Dengan lafaz bismillah 'Aishah mengetuk perlahan pintu tersebut. "Masuk" kedengaran suara dari dalam. Dengan hati yang berdebar-debar, tombol pintu dipulas perlahan. "Assalamualaikum" ujarnya penuh berhati-hati. "Waalaikumsalam." jawab pensyarah tersebut. 'Aishah mendongakkan kepala. Muka pensyarah yang berada dihadapannya dipandang. "Awak ni anak sedaranya Madam Atyrah ye? Baru saya tahu." ujar pensyarah tersebut lembut. 'Aishah mengerutkan dahinya. 'Macam pernah jumpa. Tapi, dekat mana ye?' detik hati 'Aishah tertanya-tanya. "Eh, duduklah. Jangan segan-segan. Sebab lepas ni awak akan jadi assistant saya sepenuh masa." ujar Dr Asmadi, sekaligus mematikan lamunan 'Aishah. "Terima kasih, Dr." tutur 'Aishah sambil melabuhkan punggungnya di kerusi. "Sebelum tu, saya nak awak perkenalkan diri awak dulu, boleh?" pinta Dr. Asmadi. 'Aishah mengangguk. "Nama diberi Nur 'Aishah binti Muhammad. Saya berasal dari Segamat, Johor. Pelajar jurusan sains perubatan. Semester 5." tutur 'Aishah lancar. Kelihatan pensyarah muda itu mengangguk-angguk. "Sudah berpunya atau single?" spontan soalan itu keluar dari mulut pensyarah muda itu. 'Aishah tersentak. Muka Dr. Asmadi dipandang dengan penuh persoalan. Mungkin mengerti dengan pandangan 'Aishah, Dr. Asmadi ketawa perlahan. "Maaf. Bukan apa, saya cuma takut kalau awak dah berpunya, teman lelaki awak akan marah dekat saya sebab jadikan awak assisstant saya. Itu sahaja sebabnya. Awak jangan salah faham" ujarnya dengan sisa tawa. 'Aishah tersenyum. "Kalau sebab tu, Dr. tak perlu risau. Inshaallah, tiada sesiapa yang marah" ujar 'Aishah tenang. Kelihatan Dr. Asmadi tersenyum. "Kalau macam tu, awak boleh tinggalkan nombor telefon awak, agar saya mudah untuk hubungi awak bila saya perlukan apa-apa. Kalau awak dah takde apa-apa lagi, awak boleh balik. Terima kasih kerana luangkan masa dengan saya." ujar Dr. Asmadi dan meneruskan kerjanya. 'Aishah pantas meninggalkan nombor yang boleh dihubungi oleh Dr. dan berlalu meninggalkan bilik tersebut selepas mengucapkan terima kasih. Perlahan-lahan 'Aishah melangkah kearah biliknya dengan harapan, semoga segalanya akan berjalan dengan baik.

Sebulan berlalu,
'Aishah menjalankan tugasnya sebagai assisstant kepada Dr. Asmadi seperti hari-hari yang sebelumnya. Kedengaran bunyi telefon dari beg sandangnya. 'Aishah pantas menoleh dan menggapai telefon bimbitnya. Skrin telefon dipandang. Jelas tertera nama Ummi. 'Aishah tersenyum. Lantas, punat hijau ditekan, dan telefon dibawa ke telinga. "Assalamualaikum ummi. Apa khabar, ummi sihat?" tanya 'Aishah. "Waalaikumsalam. Alhamdulillah, abi dan ummi sihat walafiat. 'Aishah pula macam mana? Kerja dengan Dr. Asmadi okey tak?" tutur umminya lembut. "Alhamdulillah ummi. Senang kerja dengan Dr. Asmadi. 'Aishah buat kerja pun tak ada masalah nak beri kerjasama. Orangnya sangat memahami." "Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. 'Aishah, ummi sebenarnya telefon 'Aishah ni sebab ada benda yang ummi nak tanya dekat 'Aishah." pinta ummi 'Aishah secara tiba-tiba. 'Aishah yang mendengar, terasa hairan. "Ummi nak tanya apa dekat 'Aishah?" soalnya. "Macam ni 'Aishah, semalam ada satu keluarga ni datang untuk merisik kamu. Orangnya kamu kenal, dan Ummi nak tahu pendapat 'Aishah pasal lelaki ni. Kalau 'Aishah setuju, Ummi akan minta keluarga tu untuk hantar rombongan meminang kamu. Jadi, apa pendapat kamu?" ujar Umminya. 'Aishah yang mendengar, tersentak. Jantungnya berdebar-debar. 'Ya Allah, insan yang mana berani untuk meminang aku?' soalnya di dalam hati. 'Aishah sedar, disebabkan dia seorang yang amat mementingkan agama dan menjaga tingkah laku, tak ramai lelaki yang berani dekat dengannya. Walaupun ada segelintir yang ingin berkawan rapat dengannya, namun selepas 'Aishah meminta agar lelaki tersebut untuk meminta izin daripada abi dan umminya untuk berkawan dengannya, mereka kemudiannya menjauhkan diri dari 'Aishah gara-gara dia dikatakan berfikiran kolot dan bajet muslimah. Disebabkan itu, 'Aishah tidak pernah menyimpan sebarang perasaan terhadap mana-mana lelaki dan dia tidak pernah bermimpi langsung bahawa dia akan dipinang dan menjadi isteri orang suatu hari nanti. Bagi 'Aishah, sebagai khalifah Allah yang sangat kerdil disisi-Nya, dia ingin menjalankan suruhan-Nya dengan penuh tanggungjawab. 'Namun, siapakah yang berani untuk melamarnya dirinya untuk menjadi isteri?' detik hatinya lagi. "'Aishah sayang, kamu dengar tak apa yang ummi katakan ni?" soalan umminya mengejutkan dirinya. "Ya ummi, 'Aishah dengar. Ummi, tadi ummi kata, 'Aishah kenal orangnya. Kalau ummi tak kisah, boleh 'Aishah tahu siapa orangnya?" soalnya berhati-hati. Umminya terdiam seketika. 'Aishah menjadi semakin hairan, "Ummi?" "Orangnya ada dekat dengan kamu, kamu sahaja yang mungkin tidak sedar. Ummi tak dapat nak beritahu kamu, kerana keluarga mereka meminta agar kamu fikir sebaik-baiknya. Bagi mereka, biarlah 'Aishah terima anak lelaki mereka kerana agamanya, dan bukan paras rupa ataupun harta kekayaannya. Jadi, ummi harap, 'Aishah akan fikir sebaik-baiknya ya sayang. Lusa, ummi akan telefon 'Aishah balik untuk meminta kata putus dari 'Aishah. Ummi letak telfon dulu, belajar elok-elok nak. Sembahyang jangan sekali lupa. Ingat pesan ummi ni. Ummi letak dulu, assalamualaikum." tutur ummi 'Aishah tenang. "Waalaikumsalam ummi." jawab 'Aishah sambil memutuskan talian. 'Orangnya ada dekat dengan kamu, cuma mungkin kamu sahaja yang tidak menyedari kehadirannya' kata-kata umminya sebentar tadi terngiang-ngiang di kepalanya. 'Siapa?' soalnya lagi untuk kali yang ke berapa. Hatinya runsing memikirkan permintaan umminya. "Ya Allah, bantulah hambamu ini dalam memberikan keputusan agar pilihan yang akan aku buat selepas ini adalah yang terbaik, Ya Allah. Amin" doa 'Aishah perlahan. Dia menyerahkan keputusan ini pada yang berhak. 

Hari yang ditunggu 'Aishah akhirnya tiba. Pada hari ini, 'Aishah akan diijabkabulkan. 'Aishah masih teringat lagi permintaan umminya 3 bulan yang lepas. Setelah umminya memberitahu akan tujuan umminya menelefon dia pada petang itu, 'Aishah menjadi tidak keruan. Sepanjang hari dia memikirkan permintaan umminya itu. Hatinya runsing. 'Mintalah petunjuk dari Allah swt, kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamabanya' detiknya didalam hati. Lantas, ayunan kakinya dihalakan kearah bilik mandi bagi mengambil wudhu'. 'Aishah sedar, dalam keadaan ini, hanya pada-Nya kita boleh berharap dan berserah. Telekung yang tersidai si hujung kepala katilnya dicapai lalu disarungkan. Takbir diangkat. Perlahan-lahan, dia hanyut dalam bacaan solatnya. Seperti yang dijanjikan, umminya menelefon. Punat hijau ditekan. "Assalamualaikum ummi" ujarnya selepas telefon bimbitnya ditekap di telinga. "Waalaikumsalam 'Aishah. Macam mana? Kamu sudah ada jawapannya?" tutur umminya lembut. "Inshaallah ummi. 'Aishah serahkan segalanya kepada abi dan ummi. Apa yang terbaik buat abi dan ummi, terbaiklah buat 'Aishah juga. Alhamdulillah, 'Aishah sudah ada jawapan kepada permintaan ummi tu. 'Aishah akan terima dirinya kerana agama yang dianutinya itu, ummi. Mudah-mudahan, dia mampu membimbing 'Aishah dalam mengejar cinta-Nya." jawab 'Aishah tenang. Dia yakin dengan jawapannya kali ini. Dia yakin dengan qadak dan qadar yang diaturkan oleh-Nya. "Alhamdulillah syukur. Inshaallah 'Aishah, dia dapat membimbing kamu. Alhamdulillah, akhirnya ummi dapat juga menantu. Terima kasih sayang." ujar umminya kegembiraan. Setelah berbincang dan berbual seketika, talian telefon dimatikan. 'Aishah terdiam. Dia termenung, memikirkan apa yang akan berlaku pada hari-hari yang mendatang. Tolakan pintu mengejutkan 'Aishah. Dipandang pemilik tubuh tersebut. Dr. Asmadi! Kalau dihitung-hitung, dia sudah berkhidmat untuk Dr. Asmadi lebih kurang bulan lebih. 'Apa yang Dr. Asmadi akan anggap dirinya selepas dia sudah bertunang? Adakah dia akan cakap yang aku tidak matang kerana mahu berkahwin awal? Atau, adakah dia akan memberikan kata-kata nasihat? Ahh... aku tidak tahu apa yang berada dalam pemikirannya itu.' detik hati 'Aishah. Astaghfirullahalazim... Ya Allah. Apa yang aku sedang fikirkan ni? 'Aishah cepat-cepat mengucap. Sedar akan dirinya yang tidak berhak hendak digandingkan dengan seseorang seperti Dr. Asmadi. 'Aishah semakin takut. Ya! Takut kerana dia sedar yang dirinya meminati Dr. Asmadi. 'Ya Allah, sesungguhnya dialah orang pertama yang dapat membuka pintu hatiku. Namun, tiada jodoh antara kami.' luahnya perlahan. Cintanya untuk Dr. Asmadi perlu dia lupakan kerana dia bakal menjadi tunangan orang. Seseorang yang dia tidak tahu nama mahupun rupa.



"Aku terima nikahnya Nur 'Aishah binti Muhammad dengan mas kahwinnya sepersalinan telekung dan senaskhah Al-quran" tutur pengantin lelaki lancar. "Sah" "Sah" "Sah" Dengan sekali lafaz, 'Aishah kini sah bergelar isteri. Air matanya menitis. Umminya yang duduk disebelahnya menitiskan air mata. 'Aishah sedar, kini dia akan memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila dia bergelar isteri. "Assalamualaikum" terdengar satu suara di balik langsir. Debaran didada semakin 'Aishah rasai. Akhirnya, dia dapat berjumpa dengan orang yang baru sahaja bergelar suaminya. Nafas ditarik perlahan. Muka ummi disebelahnya dipandang. "Waalaikumsalam" jawab umminya. Debaran di dada di rasakan semakin kencang. Langsir di selak. Derapan kaki, 'Aishah amati satu persatu.  "Assalamualaikum sayang" ujar suaminya lembut. 'Aishah pantas menjawab salam, dan menghulurkan tangan bagi menyalami suaminya dan mencium lembut tangan suaminya itu. Tangannya menggeletar. Seketika kemudian, terdengar ketawa halus dari hadapannya. "Tangan sayang sejuknya. Hehe... bukan sayang seorang sahaja yang nervous, abang pun nervous jugak" balas suaminya ceria sambil mencium ubun-ubun 'Aishah. 'Aishah terasa damai. 'Ya Allah, berkatilah perkahwinan kami ini Ya Allah' doa 'Aishah dalam hati. Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Dia ingin melihat, siapakah suaminya. 'Aishah terpempan. Subhanallah. Air matanya menitis untuk sekian kalinya. Sesungguhnya, dia amat bersyukur. Sedar yang dia membuat pilihan yang terbaik.


"Alhamdulillah. Abang, sayang betul-betul nak ucapkan terima kasih sebab sudi memilih sayang." ujar 'Aishah lembut kepada suaminya yang duduk di sampingnya. "Abang pun nak ucapkan terima kasih dekat sayang sebab sudi jugak sayang nak terima abang. Abang ingat, sayang tak sudi. Iyalah, mana taknya, senyap je bila datang kerja untuk abang." ujar suaminya sambil ketawa. 'Aishah yang mendengar, turut tertawa. Dia mengangguk. "Iyalah. takkan sayang nak layan-layan abang ke atau sesiapa. Dah nama pun 'Aishah ni bekerja untuk abang. Takkanlah sayang nak main-main masa kerja. Tak gitu, Dr. Asmadi?" jawab 'Aishah sambil mengusik suaminya itu. Dr. Asmadi tersenyum. "Sebab tulah, abang pilih sayang. Sayang ingat tak macam mana kita boleh jumpa?" soal Dr. Asmadi sambil memandang muka isterinya yang baru seminggu dinikahi. "Bukan kita jumpa masa sayang datang bilik abang tu ke?" soal 'Aishah kembali. Dr. Asmadi menggeleng, "Bukanlah. Kita dah pernah terjumpa secara tak sengaja. Sayang tak ingat ke?" balas Dr. Asmadi, cuba mengingatkan isterinya itu. 'Aishah pantas menggeleng. Dr. Asmadi tersenyum, "Masa tu, nota sayang terjatuh. Lepas tu, abang yang tolong kutipkan untuk sayang. Haa.. dah ingat dah sekarang?" 'Aishah termenung seketika. Cuba mengingati kembali. Riak mukanya berubah. Ya! Dia sudah ingat. 'Ya Allah, patutlah rasa macam pernah jumpa je' desis hati 'Aishah. Dia kemudian mengangguk. "Sesungguhnya Allah swt itu Maha Mengetahui kan abang? Tak sangka pula sayang yang kita akan berjodoh. Masa ummi telefon sayang cakap ada orang datang nak masuk meminang, sayang cepat-cepat cuba lupakan abang. Sebab masa tu, sayang dah mula sayangkan abang. Tapi, selepas sayang terima rombongan tu, sayang terus lupakan  rasa cinta sayang kepada abang. Namun, Allah swt itu memang pandai merancang. Rupa-rupanya, orang yang masuk meminang sayang, rupa-rupanya abang. Masa sayang tengok muka abang lepas upacara pembatalan air sembahyang, sayang betul-betul bersyukur." akui 'Aishah jujur. Ya! Sememangnya dia benar-benar bersyukur, suaminya adalah Dr. Asmadi. Lelaki pertama yang membuatkan dia jatuh cinta. Kini, suaminya itulah cintanya yang terakhir. Dr. Asmadi pantas mengucup tangan isterinya. "Terima kasih sayang." ujar suaminya terharu. 'Aishah tersenyum bahagia. "Tapi, sejak bila abang sukakan sayang? Lepas tu, lepas kita dah bertunang, abang langsung tak tunjukkan apa-apa pun dekat sayang."



"Sejak pertama kali abang terserempak dengan sayang, abang dah nekad nak jadikan sayang suri hidup abang. Isteri, dan ibu kepada anak-anak abang. Kebetulan, masa tu, abang memang perlukan assisstant. Abang minta tolong senior abang, Madam Atyrah. Dia yang cadangkan nama sayang. Bila sayang datang ke pejabat abang masa tu, abang betul-betul terkejut. Abang rasa, jodoh abang dengan sayang betul-betul kuat. Alhamdulillah, masa tu abang tahu yang sayang belum berpunya. Lepas sayang keluar je dari pejabat abang, abang terus telefon ibu, cakap yang abang nak kahwin dengan sayang. Kebetulan, ibu abang tu bersahabat baik dengan ummi. Alhamdulillah, abang seronok sangat bila sayang terima lamaran abang, walaupun sayang tak tahu siapa orangnya. Sebab kenapa abang tak tunjukkan apa-apa reaksi sebab, abang nak jaga hubungan kita. Abang tak nak dengan status 'tunang', bermaksud abang berhak keatas semuanya. Jadi, macam tulah. Sekarang, alhamdulillah. Abang lega dah yang sayang dah jadi isteri abang. Terima kasih sayang" ujar suaminya panjang lebar. 'Aishah terharu. "Terima kasih abang" itu sahaja yang mampu 'Aishah katakan. 'Ya Allah, terima kasih Ya Allah. Jagalah hati kami semoga cinta kami kekal hingga ke anak cucu dan sampai ke Jannah. Inshaallah. Amin' pinta 'Aishah dalam hati. 

-tamat-



No comments:

Post a Comment