Tuesday, 31 May 2016

:: Dia & a cup of Coffee ::

'Dear me,

Please be strong. Don't afraid to say what's in your mind. Be true to yourself. '

                Lot's of love:
                 myself


Catitan itu ditenung lama. Maisarah mengalihkan pandangannya. Senyuman dibibirnya terukir. Kanak-kanak perempuan yang bermain di hadapannya menarik minat Maisarah. Kelincahan anak kecil itu membuatkan dia tertawa kecil. Dia perhatikan tingkah anak itu sambil mengusap perlahan perutnya. Kandungannya kini menginjak 6 bulan. Bukti kasih dia dan suaminya. Matanya ditala kehadapan. Satu per satu kenangan dia terimbas. 

_______________________________________________________________

SMK Labis, 2008.

"I love you. Please go out with me!" jerit satu suara yang memeranjatkan dirinya. Maisarah pantas menoleh kearah suara tersebut. Kawan-kawannya sudah berbisik-bisik antara satu sama lain sambil tersengih-sengih. Merasakan dirinya diperhatikan, dia lantas mengalihkan pandangannya kembali kepada buku yang dibaca. Sesaat, dua saat, tiga saat. Sesusuk tubuh yang berdiri tegak dihadapannya tidak berganjak sedikit pun. Perlahan, keluhan dilepaskan. Dia mengangkat wajah. "Adik ada apa-apa nak cakap ke?" soal Maisarah. Suaranya ditekankan pada perkataan ADIK. Budak itu tersenyum senang. "Nama saya bukan adik. Nama diberi Muhammad Haiqal bin Sulaiman" tutur budak itu ceria sambil perkenalkan dirinya. "OK Haiqal, akak bukan nak sindir adik ke apa. Cuma akak tak berapa faham dengan kata-kata adik sebentar tadi. Apa yang adik nak dari akak?" soal Maisarah tenang. Budak Haiqal dihadapannya dipandang lama. "Macam yang saya dah beritahu tadi, nama saya Haiqal. Saya harap awak boleh panggil nama saya, dan bukannya adik. Buat kali keduanya, saya cakap yang saya sukakan awak dan nak awak jadi makwe saya" balas Haiqal lancar. Sejurus dia mendengar kata-kata Haiqal, dia terdengar ketawa halus dari kawan-kawannya. "Adik ni kelakarlah. Betul ke apa yang kami dengar ni? Ke adik kena buli dengan kawan-kawan adik?" soal Rahimah, kawan rapat Maisarah yang ketika itu turut berada di sisi Maisarah. Gelaknya masih bersisa. "Saya betul-betul serius cintakan awak. Saya tak main-main dalam soal hati. Jujur. Saya harap, awak dapat fikir-fikirkan confession saya ni. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum." ujar Haiqal pantas berlalu. Maisarah terkelu. Tidak mampu bersuara. Dahinya ditepuk perlahan. "Aku rasa budak tu seriuslah Mai. Dia memang betul sukakan kau. Tapi, jujur aku cakap. Aku salute habis dekat si Haiqal tu. Berani dia luahkan perasaan dia pada kau. Siapa yang tak kenal kau, satu sekolah kenal. Bukan setakat kenal, budak-budak lelaki ni, kalau dengar je nama Maisarah Hanim, confirm lari lintang-pukang. Garang mengalahkan singa. Aku rasa kalau kau duduk sekandang dengan singa, singa pun takutkan kau!" Rahimah bersuara, menyokong tindakan berani Haiqal. Maisarah diam. Seketika kemudian, loceng pun berbunyi. Dia pantas bangun, menuju ke kelas. Otaknya ligat memikirkan kata-kata kawannya.

_______________________________________________________________

Gempar satu sekolah apabila peristiwa Maisarah Hanim menerima confession dari junior tersebar. Masing-masing tidak percaya dengan cerita yang didengar.  Rakan sekelasnya sibuk bertanya tentang hal yang sebenar. Bagi mereka, mereka sukar nak percaya bahawa ada orang yang meminati Queen of the Lion, dan lagi sukar nak ditelan apabila orang itu merupakan junior mereka! Maisarah tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya berdiam diri. Enggan mengulas lebih lanjut. 'Biarkan cerita ni mati sendiri. Kalau aku bersuara, nanti lain pula budak-budak ni buat spekulasi' desis Maisarah. Dalam diam, dia akui yang Haiqal memang seorang yang berani, dan dia kagum dengan sikap lelaki tersebut. Maisarah tersentak. Perkataan 'lelaki' yang terlintas di hatinya membuatkan dia gusar. Tidak menyangka yang hatinya sudah menerima Haiqal sebagai seorang lelaki, dan bukannya lagi seorang budak. Akalnya pantas menidakkan apa yang dia fikirkan. Dia memikirkan cara terbaik untuk menolak confession Haiqal tanpa melukakan hati mana-mana pihak. 

"Maisarah" tegur satu suara dari belakang. Langkah Maisarah terhenti. Sesusuk tubuh dihadapannya diperhatikan. "Saya nak cakap dengan awak sekejap boleh?" sambungnya lagi. Maisarah memandang Rahimah. "Aku pergi dululah. Nanti kau tahukan nak cari aku dekat mana?" ujar Rahimah sambil berlalu meninggalkan mereka berdua. Setelah kelibat Rahimah hilang dari pandangan, Haiqal mengajak dia untuk duduk di pondok yang terdekat. "Kita duduk dekat sinilah. Nanti takdelah orang nak kata buruk pasal awak, sebab ramai yang lalu kawasan ni." tutur Haiqal prihatin. Maisarah hanya mengangguk. "Jadi, apa jawapan awak?" soal Haiqal tanpa berlengah. Maisarah menarik nafas, perlahan. "Saya minta maaf, tapi, saya tak boleh nak balas perasaan awak. Jadi, saya harap awak boleh lupakan saya." balas Maisarah satu per satu. Haiqal ketawa kecil, "hahaha, saya dah agak dah yang awak akan cakap macam tu. Tapi, untuk pengetahuan awak, saya takkan sesekali berundur dari cinta saya ni. Saya akan buat awak jatuh cinta dekat saya. Suatu hari nanti, saya yakin, awak akan dapat terima keikhlasan hati saya. So, I just want to say that, be prepared. Sebab saya akan kejar awak sehingga Allah swt mengambil kembali nyawa saya yang dipinjamkan ni." Haiqal bersuara tenang. Suaranya kelihatan yakin. Maisarah memandang tepat ke arah Haiqal. Dia tahu yang segala kata-katanya tidak akan dipandang serius oleh Haiqal kerana lelaki itu sudah nekad untuk menawan hatinya. Maisarah tersenyum nipis, dia lantas mengucapkan perkataan 'Selamat mencuba' kepada Haiqal. Mendengarkan perkataan itu, Haiqal pantas membuat aksi victory. Keriangan terpancar dimukanya. Melihatkan tingkah Haiqal yang lucu itu, membuatkan Maisarah ketawa perlahan. Bagi Maisarah, dia ingin melihat sejauh mana kesungguhan Haiqal terhadapnya. Dia bukannya mahu mempermainkan perasaan Haiqal, cuma dia ingin mencabar dirinya sendiri untuk mengenali seseorang yang bergelar Adam. Seperti mana-mana gadis, dia sendiri mahu dicintai dan mencintai. Namun, dia takut. Takut hatinya akan dikecewakan dan terluka. 'Sebaik-baik kita merancang, Allah swt lah perancang yang terbaik' detik hati Maisarah. 

_______________________________________________________________

Sehari demi sehari, Maisarah semakin dapat menerima kehadiran Haiqal dalam hidupnya. Kepetahan Haiqal membuatkan dia tersenyum gembira. Senyuman dan tawa sentiasa menghiasi wajahnya. Sedikit demi sedikit, personalitinya yang garang semakin dilupai oleh semua pelajar. "Imah, aku tengok Maisarah tu dah berubah. Aku dengar budak-budak junior cakap yang Maisarah dah tak garang macam dulu lagi. Lagi satu, aku ada dengar jugak yang budak-budak lelaki sekolah kita dah tak gerun dengar nama Maisarah Hanim, malah, mereka kata yang Mai ni comel bila senyum. Kau rasa macam mana?" soal Aina, rakan sekelas Maisarah dan Rahimah. Rahimah yang mendengar hanya mampu tersenyum. Dia juga sedar yang Maisarah sudah berubah. Dari seorang yang ditakuti ramai, kepada yang disenangi ramai. Dia juga akui yang sememangnya Maisarah seorang yang cantik dan lembut. Cuma, apabila di sekolah, Maisarah selalu mempamerkan mukanya yang garang. Tetapi, semenjak kehadiran Haiqal, Maisarah kembali menjadi dirinya yang sebenar. 'Terima kasih Haiqal. Sebab kau dah berjaya melembutkan hati Maisarah.' detik hati Rahimah.